Saturday, May 21, 2011

FAQ UMP 1Malaysia

SOALAN LAZIM (FAQs)

Q1. Adakah perkhidmatan ini wajib untuk semua pesakit yang mengambil ubat di kaunter Farmasi?
A1. Perkhidmatan ini merupakan pilihan bagi pesakit untuk memudahkan mereka mendapatkan bekalan ubat susulan tanpa perlu datang ke kaunter farmasi

Q2. Adakah saya boleh menggunakan perkhidmatan ini setiap kali saya hendak mengambil ubat saya?
A2. Perkhidmatan ini hanya boleh digunakan untuk mengambil bekalan ubat-ubatan susulan sahaja. Pengambilan ubat pada kali pertama mestilah dibuat di kaunter Farmasi Klinik Pakar/Pesakit Luar.

Q3. Adakah semua ubat boleh dihantar melalui perkhidmatan ini?
A3. Hanya ubat-ubatan jenis tablet atau kapsul yang tidak memerlukan penyimpanan khusus dan bukan daripada jenis psikotropik boleh dihantar melalui perkhidmatan ini. Ubat-ubatan selain daripada yang dinyatakan di atas tidak boleh menggunakan perkhidmatan ini.

Q4. Di mana kiriman ubat boleh dihantar?
A4. Kiriman ubat boleh dihantar mengikut lokasi pilihan anda sama ada di rumah atau di pejabat

Q5. Bila saya akan menerima bekalan ubat tersebut?
A5. Ubat anda akan dihantar sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh bekalan ubat susulan tersebut.

Q6. Adakah saya akan dimaklumkan tentang penghantaran ubat tersebut?
A6. Anda akan dihubungi melalui SMS atau panggilan telefon sekurang-kurangnya 1 hari sebelum penghantaran ubat dibuat.

Q7. Siapakah yang akan menghantar ubat kepada saya?
A7. Penghantaran ubat akan dibuat oleh pihak Pos Malaysia (Pos Laju).

Q8. Berapakah kos yang perlu ditanggung jika menggunakan perkhidmatan ini?
A8. Ia bergantung kepada destinasi dan berat kiriman seperti berikut:

Bil Kawasan Penghantaran Caj (RM)
Dari Kawasan Ke Kawasan <500 gm 500-1000gm
1 Semenanjung Semenanjung 5.00 6.00
2 Sabah/Sarawak Sabah/Sarawak 5.00 6.00
3 Semenanjung Sabah/Sarawak 8.00 10.00
4 Sabah & Sarawak Semenanjung 8.00 10.00



Q9. Bagaimana dengan cara pembayaran?
A9. Pembayaran boleh dibuat secara tunai selepas kiriman ubat diterima (Cash on Delivery) atau menggunakan perbankan atas talian jika menggunakan laman web

Q10. Kalau saya seorang kakitangan/pesara kerajaan, adakah saya akan dikenakan bayaran juga?
A10. Ya. Bayaran tersebut adalah untuk perkhidmatan penghantaran yang dikenakan oleh pihak Pos Malaysia. Anda tidak akan dikenakan apa-apa bayaran untuk ubat-ubat anda.

Q11. Apakah tindakan yang harus dibuat jika ubat yang diterima melalui kiriman pos tidak sama dengan ubat yang diambil di kaunter farmasi?
A11. Anda diminta merujuk perkara ini kepada Pegawai Farmasi di hospital/klinik kesihatan yang membuat kiriman ubat berkenaan untuk maklumat lanjut.

Q12. Sekiranya ubat yang diterima melalui pos tersebut rosak, siapa yang perlu saya hubungi?
A12. Anda diminta untuk menghubungi Pegawai Farmasi di hospital/klinik kesihatan yang membuat kiriman ubat berkenaan untuk maklumat lanjut.

Q13. Sekiranya saya tiada di rumah semasa pihak pos menghantar kiriman ubat saya, bolehkah ahli keluarga lain mengambil kiriman tersebut bagi pihak saya?
A13. Kiriman ubat anda boleh diterima oleh ahli keluarga yang lain asalkan akuan penerimaan bungkusan ditandatangani oleh ahli keluarga tersebut.

Q14. Sekiranya saya ingin membuat penukaran alamat kiriman ubat, apakah yang perlu dilakukan?
A14. Sila maklumkan mengenai penukaran alamat tersebut dengan Pegawai Farmasi di hospital/klinik kesihatan yang membuat kiriman ubat secepat mungkin.

Q15. Apakah rasional di sebalik pelaksanaan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos?
A15. Perkhidmatan ini ditawarkan kepada pesakit yang perlu datang ke hospital berulangkali untuk mengambil ubat susulan bagi penyakit kronik. Biasanya preskripsi diberi oleh doktor untuk tempoh 3-6 bulan kepada pesakit stabil tetapi ubat hanya dibekal oleh farmasi untuk tempoh sebulan. Dengan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos, pesakit yang layak dan ingin memilih opsyen ini tidak perlu datang ke hospital untuk pengambilan ubat susulan Dengan ini terdapat penjimatan perbelanjaan perjalanan, masa dan juga dapat memastikan kesinambungan pengambilan ubat





Q16. Adakah ubat yang dipos itu selamat?
A16. Semua ubat disediakan oleh Pegawai Farmasi dan disemak oleh seorang pegawai lain berdasar kepada preskripsi sebelum dibungkus. Semua bungkusan dimeterikan dengan lak resmi Kementerian Kesihatan Malaysia supaya akan diketahui jika terdapat gangguan pada bungkusan tersebut. Pesakit juga dinasihat berhubung dengan pihak farmasi jika merasa ragu-ragu terhadap ubat yang dikirim sekiranya berbeza daripada ubat yang biasa diguna ataupun kualiti dikhuatiri.

Q17. Terjaminkah ubat akan sampai pada masanya sedangkan ada juga barangan yang dihantar melalui pos laju tidak sampai dalam sesetengah kes?
A17. Melalui sistem "On-line tracking" Pos laju, hospital berkenaan boleh mengesan pergerakan ubat-ubat yang dihantar. Selain daripada itu, berdasar kepada prosedur yang ditetapkan pesakit akan dihubungi sebelum bungkusan ubat dikirim dan mereka diminta memaklumkan pihak hospital sekiranya ubat tidak diterima

Q18. Bagaimana dengan kualiti ubat yang sampai nanti?
A18. Hanya ubat dalam bentuk tablet/kapsul yang tidak memerlukan penyimpanan khusus akan dihantar melalui pos. Pihak pos juga telah dimaklumkan berkaitan kaedah penyimpanan ubat. Bahagian Perkhidmatan Farmasi akan menjalankan audit penjaminan kualiti (quality assurance) di cawangan-cawangan Pos Laju yang terlibat untuk memastikan kualiti ubat yang dikirim tidak terjejas.

Q19. Sejauh manakah penerimaan mereka yang telah menggunakan khidmat ini?
A19. Perkhidmatan ini telah dilaksanakan di 26 fasiliti setakat ini dan sambutan daripada pesakit adalah sangat menggalakkan kerana memudahkan pengambilan ubat.

Q20. Tidakkah pelaksanaan khidmat ini seolah-olah menghantar mesej yang kurang tepat kepada pesakit bahawa "anda tidak perlu datang ke hospital lagi"?
A20. Perkhidmatan ini hanya ditawarkan kepada pesakit di mana preskripsi ubat belum dibekal secara penuh. Pesakit masih perlu datang ke hospital sekiranya terdapat temujanji dengan doktor. Perkhidmatan ini juga bukan merupakan "mail order service" kerana ubat yang dipos kepada pesakit adalah berdasar kepada preskripsi yang diberi oleh doktor yang merawat pesakit di fasiliti berkenaan.

Q21. Adakah penghantaran ubat melalui pos dapat menggantikan keberkesanan mengambil ubat dan berjumpa doktor di hospital.
A21. Perkhidmatan ini tidak bertujuan untuk menggantikan keberkesanan mengambil ubat dan berjumpa doktor di hospital. Sepertimana dinyatakan, perkhidmatan ini hanya bertujuan memudahkan pengambilan ubat ulangan atas preskripsi jangka panjang.

http://www.pharmacy.gov.my/newsmaster.cfm?&menuid=139&action=view&retrieveid=237

No comments: