Sunday, January 10, 2010

Amanat Tahun 2010 YB Menteri Kesihatan

Amanat Tahun 2010 Y.B. Menteri Kesihatan Malaysia. Saya quote beberapa point yg penting

3. Mengimbas kembali tahun 2009, saya merasakan banyak perkara dan cabaran yang telah ditempuhi sepanjang tahun. Antaranya ialah kemelesetan ekonomi global yang berpunca daripada krisis kewangan di Amerika Syarikat. Walaupun keadaan ekonomi global kini telah beransur pulih, namun ia masih belum menunjukkan tanda pemulihan yang kukuh. Kerajaan di bawah kepimpinan Y.A.B. Perdana Menteri terus komited untuk membawa Malaysia keluar dari belenggu kemelesetan ekonomi dunia. Ini dapat kita lihat melalui pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion yang telah memberi kesan positif kepada ekonomi negara pada suku terakhir tahun lepas.

4. Dalam pada itu, Bajet 2010 yang diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 23 Oktober tahun lepas juga merupakan asas kepada pembentukan model ekonomi baru bagi memastikan rakyat negara ini tidak terus terperangkap dalam kelompok berpendapatan sederhana. Selain itu, bajet tahun ini juga terus memberi perhatian dan penekanan kepada kesejahteraan rakyat, iaitu selaras dengan gagasan 1Malaysia.

5. Sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab ke atas kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pada tahun ini Kementerian Kesihatan telah diluluskan peruntukan berjumlah RM14.8 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM11.2 bilion dan perbelanjaan
pembangunan sebanyak RM3.6 bilion. Peruntukan tersebut telah menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6% berbanding tahun sebelumnya (RM13.2 bilion). Peruntukan yang diterima oleh Kementerian juga adalah kedua tertinggi (tidak termasuk Kementerian Kewangan) dan merangkumi 7.7% daripada peruntukan Persekutuan berbanding dengan 6.6% pada tahun 2009 dan 7.2% pada tahun 2008.

6. Walaupun secara keseluruhannya peruntukan kementerian telah meningkat, namun peruntukan mengurus telah dikurangkan sebanyak 2.2% iaitu daripada RM11.4 bilion pada tahun 2009 kepada RM11.2 bilion. Peruntukan pembangunan pula telah meningkat sebanyak 57.0% iaitu daripada RM2.3 bilion pada tahun 2009 kepada RM3.6 bilion pada tahun ini. Pengurangan peruntukan mengurus ini adalah selaras dengan dasar perbelanjaan secara berhemah Kerajaan di samping mengutamakan value for money. Dengan sumber yang terhad ini, saya berharap semua warga Kementerian dapat terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, produktif dan efisien tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

7. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, tahun ini merupakan tahun terakhir bagi tempoh RMK9. Sehingga akhir tahun lepas, sebanyak 42 klinik kesihatan telah disiapkan manakala 89 lagi dijangka siap dibina sebelum penghujung tahun ini. Bagi projek hospital pula, pada masa ini terdapat 3 hospital baru dan 3 hospital gantian sedang dalam pembinaan dengan jumlah kos sebanyak RM2.0 bilion. Prestasi perbelanjaan keseluruhan RMK9 Kementerian setakat ini adalah sebanyak RM6.1 bilion atau 57.3% daripada jumlah peruntukan yang diterima iaitu RM10.7 bilion. Saya ingin menyeru agar semua Bahagian berkaitan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua perancangan yang telah dibuat untuk RMK9 disempurnakan sebelum penghujung tahun.


12. Saya sedar dan berbangga atas kesungguhan serta komitmen warga kerja Kementerian untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Ini dapat dilihat melalui kejadian pandemik Influenza A (H1N1) yang melanda negara tahun lalu. Berkat usaha gigih dan tindakan pantas semua pihak bekaitan, penularannya telah berjaya dikawal dalam tempoh 3 bulan. Walau bagaimanapun, menurut pihak WHO, pandemik Influenza A (H1N1) masih lagi belum reda dan gelombang kedua dijangka akan melanda khususnya di negara-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara pada musim sejuk sekarang. Sebagai langkah pencegahan, Kementerian Kesihatan telah mengagihkan 46,000 dos vaksin Influenza A (H1N1) kepada semua petugas di barisan hadapan pada tahun lalu dan 354,000 dos lagi akan diagihkan pada tahun ini. Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi perolehan simpanan ubat anti-viral. Selain itu, aktiviti pendidikan kesihatan dan komunikasi risiko kepada masyarakat melalui saluran media perdana juga akan terus diperkukuhkan.



15. Kanser pangkal rahim merupakan kanser kedua tertinggi di kalangan wanita negara ini. Kerajaan peka dan prihatian terhadap keperluan wanita di negara ini serta menghargai sumbangan mereka kepada pembangunan sosio-ekonomi negara. Berikutan itu, mulai dari tahun ini Kementerian akan melaksanakan Program Pelalian Vaksin Human Papillomavirus (HPV) untuk remaja perempuan Tingkatan Satu dan mereka yang berumur 13 tahun dengan jumlah peruntukan sebanyak RM130 juta. Saya berharap dan menyeru agar kumpulan ini dapat tampil ke hadapan untuk mendapatkan pelalian ini yang diberikan secara percuma.

16. Selain itu, saya percaya tuan-tuan dan puan-puan telahpun sedia maklum bahawa pada tahun lepas, peruntukan Amaran Kesihatan Bergambar bagi setiap kotak dan karton rokok telah dilaksanakan setelah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008 diwartakan. Selain amaran kesihatan bergambar, terdapat 2 lagi peruntukan tambahan iaitu penetapan Harga Minimum Rokok telah dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2010 dan juga larangan penjualan rokok dalam bungkusan kurang dari 20 batang (kiddy packs) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun 2010. Ini menunjukkan bahawa Kementerian serius dalam usaha untuk membendung tabiat merokok dan mengalakkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.

No comments: