Sunday, September 28, 2008

Maklumat Terkini Mengenai Melamine


Baru sahaja mencari maklumat mengenai pencemaran melamine dalam produk tenusu dari negara China. Melamine digunakan untuk menambahkan kandungan protein dalam susu.


KENYATAAN AKHBAR KE LAPAN (27 September 2008)

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN ISU MELAMINE



Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan maklumat terbaru berhubung dengan pencemaran melamine di dalam produk makanan.

Berkaitan dengan senarai produk makanan yang tidak terlibat dengan pencemaran melamine yang telah dikemaskini sehingga hari ini ialah sebanyak 980 produk daripada 34 syarikat seperti di Lampiran 1.

Sehingga hari ini, 540 penyitaan telah dijalankan ke atas produk makanan yang disyaki di pasaran tempatan di seluruh negara bernilai RM 92,366.41 seperti di Lampiran 2. Selain dari mendapat jaminan dari pihak industri bahawa produk makanan tersebut tidak
mengandungi susu yang diperolehi dari Negara China, sampel diambil dan dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan ia mematuhi standard sebelum dibenarkan untuk dijual di pasaran.

Pada hari ini, keputusan analisis bagi 3 lagi sampel produk makanan telah diperolehi dan kesemuanya mematuhi standard bagi melamine. Ini menjadikan jumlah sampel produk yang telah dianalisis setakat ini adalah 16 sampel seperti di Lampiran 3.

Sejak bilik gerakan dibuka pada 23 September sehingga 27 September 2008, sebanyak 1,157 panggilan telah diterima daripada orang ramai bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kepastian produk makanan yang tidak dicemari melamine. Talian ini dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi sehingga 9.00 malam termasuk cuti umum dan Hari Raya Aidil Fitri. Sehingga kini, hits laman web Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan (BKKM), http://fsq.moh.gov.my telah mencapai seramai 17 ribu pengunjung.

Pengguna dinasihatkan tidak perlu risau mengenai isu melamine kerana KKM telah mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu ini. Namun begitu, pengguna dinasihatkan sentiasa membaca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan di pasaran. Maklumat terkini mengenai isu melamine ini boleh diperolehi melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar dan laman web BKKM.

Pengarah
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan
Kementerian Kesihatan Malaysia

27 September 2008

TALIAN HOTLINE BILIK GERAKAN KKM:

03- 88833655

03- 88833503

03- 88833500

03- 88833652

LAMAN WEB:http://fsq.moh.gov.my


Senarai penuh produk yang tidak dikaitkan dengan pencemaran melamine di China : download SINI (page 5)

Maklumat detail mengenai pencemaran melamine oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, baca SINI

1 comment:

Anonymous said...

nasib baik negara kita ambil susu dari Australia.