Ramadhan, tahun 1429 hijrah. Kerajaan DIRI sunyi sepi. Segala bunyi seolah-olah hilang dengan kejutan yang dibawa oleh media bahawa para tamtama Ramadhan mula mengibarkan panji perang di mercu langit. Bersedia untuk menggempur. Tanpa diduga, terdengar semboyan dan genderang dari segenap pelusuk dan keadaan ini menggusarkan Adipati ABID. Setiap rakyat dalam kerajaan tersebut sudah maklum, semboyan yang bersahutan dari segenap daerah setiap kali anak bulan Ramadhan bersinar merupakan satu alamat awal bahawa peperangan akan bermula. Pertarungan besar bagi merebut takhta dalam kerajaan DIRI yang berpusat di wilayah kecil bernama HATI.
Adipati ABID berkeluh kesah dengan wajah yang durja. Baginda buntu. Setiap kali berakhirnya Syaaban, pasti perasaan yang sama akan melanda dan menghantui diri. Jika baginda tunduk pada Sultan Ramadhan, maka baginda dan seluruh jelata akan terjajah dan menjadi hamba kepada perintah-perintah Sultan Ramadhan. Lantas, seluruh manda menteri dan pembesar kerajaan dititahkan menghadap baginda bagi menyelesaikan kesulitan yang mengepung fikirannya saat itu.
“Mamanda, bagaimana serangan tentera-tentera Ramadhan dapat kita elakkan? Beta tidak mahu terus mengalah dan membiarkan mereka menakluk kerajaan DIRI. Tahun lepas, kita berjaya menumpaskan serangan dari tentera-tentera Ramadhan. Kali ini, beta khuatir……” pertuturan Adipati ABID terwakaf di situ.
“Tuanku, kali ini tentera-tentera Ramadhan datang membawa barakah. Mereka datang bukan untuk membikin huru-hara dalam wilayah kita. Mereka datang membawa maghfirat.” Seorang manda menteri yang dikenali sebagai Munsyi Akal menuturkan pendapat dengan wajah tenang sambil mengurut-urut janggutnya.
“Ampun tuanku, nampaknya Munsyi Akal menyokong pasukan Sultan Ramadhan. Dia mula bersekongkol dengan musuh kita, tuanku. Pada hemat patik, kita lawan tentera-tentera Ramadhan dan tali barutnya mesti ditentang habis-habisan.” Mandulika Nafsu bangkit dari tempat bersila sambil telunjuknya lurus menghala ke arah Kiyai Kudsi. Sejurus, suasana di dalam balai istana mula bising dan sesekali kedengaran beberapa orang menteri Kerajaan DIRI bertelagah sesama sendiri.
“Diam, ini bukan waktu untuk bertelagah dan saling tuduh-menuduh!” suara Adipati ABID meninggi. Baginda bangkit dari pancapersada Kerajaan DIRI sambil membetulkan mahkotanya dengan rona tegang mencuka.
“ Panglima Kalbu, arahkan tentera-tentera kita bersiaga di sempadan negara untuk menentang tentera-tentera Ramadhan!” adipati memerintah lantang.
“ Tuanku adipati, tentera-tentera kita sudah mula dirigap oleh pasukan Sultan Ramadhan. Apa tuanku sudah lupa, setiap kali semboyan berbunyi pada maghrib terakhir Syaaban semua tentera kita yang bernama syaitan akan dipasung oleh pihak mereka sehinggalah Syawal menjelma.” Panglima Kalbu bersuara, sedikit cuak. Ragu sekiranya penerangan yang ditutur bakal menimbulkan murka adipati.
“Apa?” Adipati ABID terduduk. Wajahnya beriak kecewa dengan penjelasan Panglima Kalbu. Suasana balai istana kembali tenang. Setiap penghuninya berteleku memikirkan jalan keluar untuk mengatasi serangan daripada tentera-tentera Ramadhan.
Tiba-tiba seorang pengawal berlari masuk ke dalam balai istana dengan kecungapan membawa khabar bahawa tiga orang pembawa utusan Sultan Ramadhan sedang menanti di luar istana dan berhajat untuk menghadap Adipati ABID. Sejurus mendapat kebenaran, tiga orang lelaki yang membawa utusan daripada Sultan Ramadhan melangkah tenang ke tengah-tengah balai penghadapan. Pandangan mata setiap mamanda dan pembesar kerajaan tercatuk pada dulang yang dilitup dengan baldu hijau yang ditatang oleh salah seorang pembawa utusan kerajaan lawan mereka.
“Ampuan Tuanku Adipadi ABID, kami datang membawa utusan daripada Sultan kami.” Ketua utusan Sultan Ramadhan memulakan bicara penuh sopan dengan wajah yang sedikit tertunduk selepas menyampaikan salam. Adipati ABID diam, wajahnya jelas beriak gusar. Setiap mamanda dan pembesar kerajaan kelihatan tekun menunggu kalam seterusnya yang akan terbit dari mulut pembawa utusan Sultan Ramadhan.
“Sultan kami ingin bersekutu dengan Adipati ABID dan mempelawa seluruh jelata Kerajaan DIRI untuk menjalani ibadah puasa kerana ibadah puasa itu diwajibkan kepada umat kini sebagaimana diwajibkan kepada umat-umat terdahulu agar kalian bertakwa. Oleh itu, kami ingin mengajak kalian untuk menjauhi ‘adat berpuasa’ untuk menuju hikmah ‘ibadat berpuasa’.” Utusan tersebut berbicara tenang dan suaranya kedengaran lunak memenuhi balai istana yang sunyi.
“Adat berpuasa? Beta tidak pernah dengar adat tersebut. Serupakah dengan Adat Temenggong atau Adat Perpatih yang sedia ada?” Wajah Adipati ABID mula berkerut sambil jarinya menggaru-garu cuping telinga yang tidak gatal.
“Oh, maksud kami ibadah puasa yang dipelawa oleh Sultan Ramadhan ialah ibadah puasa yang menepati syariat yang ditetapkan oleh Baginda. Ini bermakna, setiap orang yang berpuasa bukan hanya perlu menahan diri dari makan dan minum, malahan mereka diwajibkan untuk menahan gejolak nafsu dan mengawal diri dari melakukan segala kemaksiatan. Bukan itu sahaja, segala indera dan anggota diri perlu dijaga daripada melakukan sesuatu perkara yang sia-sia kerana terdapat orang yang berpuasa yang hanya memperolehi lapar dan dahaga sahaja. Semua ini dilakukan bagi mencapai ketakwaan. Inilah yang akan menjadi kayu ukur bahawa sesuatu ‘adat’ itu berbeza dengan ‘ibadat’ itu ” Pembawa utusan yang kedua menyambung bicara bagi merungkaikan kekeliruan yang berlegar di minda Adipati ABID.
“Tuanku, kami juga ingin menyampaikan pesan daripada Sultan kami bahawa Baginda akan mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan oleh kalian sebelum ini sekiranya kalian sudi bersekutu dengan kami untuk berpuasa di bulan ini dengan penuh keimanan dan mengharap keredaan Baginda. Buat pengetahuan tuanku adipati juga, Sultan kami menjanjikan pelepasan dari api neraka sekiranya tuanku Adipadi ABID dan seluruh jelata Kerajaan DIRI bersetuju untuk menerima tawaran kami.” Seorang pembawa utusan yang lain menambah.
“Maksud kalian?” bicara Adipati Abid masih menunjukkan bahawa baginda masih kabur dengan penerangan pembawa utusan Sultan Ramadhan.
“ Tuanku adipadi ABID, di dalam syurga terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Pada hari kiamat kelak, pintu itu hanya akan dilalui oleh orang-orang yang berpuasa sahaja. Itulah antara ganjaran yang Sultan kami sediakan kepada sesiapa yang meninggalkan ‘adat puasa’ dan menyempurnai ‘ibadat puasa.’ Ibadah puasa mengajar kita untuk bersabar dan meningkatkan rohani untuk membina hubungan antara seorang hamba dan Baginda.” Pembawa utusan yang sama menyambung. Serentak mamanda menteri dan pembesar kerajaan tergangguk-angguk sambil berbisik-bisik sesama sendiri. Munsyi Akal tersenyum lebar. Mandulika Nafsu mula berkalih duduk dan dahinya mula disimbahi peluh dingin. Gerahamnya diketap dalam kegelisahan.
“Tuanku adipati, Sultan Ramadhan ada mengirim sesuatu untuk dipersembahkan kepada tuanku.” Perhatian dan pandangan Adipadi ABID serta seluruh penghuni balai mula teralih ke arah tangan pembawa utusan tersebut. Lantas, baldu hijau yang melitupi dulang yang ditatangnya dibuka. Serta-merta balai istana diterangi oleh cahaya bersemarak dan berkilauan yang terbit dari sebutir mutiara besar dari dalam dulang yang dibawanya. Setiap mata memandang penuh takjub seri cahaya yang begitu memukau mengalahkan bintang timur di langit gemilang.
“Tuanku adipati, mutiara ini ialah tamsilan untuk al-Qadr. Al-Qadr ialah satu malam yang begitu istimewa dan lebih baik dari seribu bulan kerana bulan ini membawa barakah serta segala amalan dalam bulan ini akan digandakan pahalanya. Pada malam al-Qadr, malaikat dan roh akan turun dengan izin Sultan Ramadhan dan kesejahteraan akan menyelubungi malam tersebut hingga ke fajar.”
“Maksud kamu?”
“Itulah keistimewaan bulan ini, tuanku. Sultan Ramadhan juga menyampaikan pesan agar tuanku Adipati ABID dan seluruh jelata Kerajaan DIRI mengerjakan solat sunat terawikh dalam bulan ini kerana setiap malam akan dijanjikan hikmah yang besar.” Kali ini, Adipati ABID mula tersenyum. Tawaran-tawaran hebat yang ditawarkan oleh Sultan Ramadhan begitu menarik dan permusuhan antara Kerajaan DIRI dan Sultan Ramadhan wajar ditamatkan segera.
“Pulanglah kalian dan khabarkan kepada Sultan Ramadhan bahawa beta bersetuju untuk bersekutu dengan kerajaan Baginda. Beta juga akan menyanggupi pelawaan Baginda untuk berpuasa dan akan menyeru seluruh warga Kerajaan DIRI untuk berpuasa pada bulan ini.” Senyum Adipati ABID semakin lebar dan wajahnya berona jernih.
“Munsyi Akal, arahkan seluruh jelata kita untuk berpuasa pada siang Ramadhan sebagaimana yang disarankan oleh Sultan Ramadhan. Titahkan juga kepada seluruh warga Kerajaan DIRI untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan amalan kebaikan.”
“Titah dijunjung, tuanku adipati.”
“Panglima Kalbu, tangkap Mandulika Nafsu. Rupa-rupanya selama ini dialah yang banyak menghasut dan mempengaruhi beta untuk memusuhi Sultan Ramadhan. Beta arahkan Mandulika Nafsu dijatuhi hukuman buang daerah!” Adipati ABID memandang Mandulika Nafsu dengan penuh kemurkaan.
“Titah dijunjung!”
Ramadhan ini, tidak seperti Ramadhan tahun-tahun sebelumnya. Ramadhan ini, Adipati ABID mula mengerti satu pengajaran bahawa Mandulika Nafsu adalah musuh yang peling ketat dalam kerajaannya, dan musuh itu perlu disingkirkan. Ramadhan ini, Adipati ABID tidak akan kalah dalam pertarungan mendaulatkan sebuah wilayah kecil dalam Kerajaan Dirinya - hati!
3 comments:
ingatkan cerita ape la tadi..
pasal ramadhan rupenye.
best la, tak jemu bace banyak kali.
ni rekaan sendiri ker, atau dari mane2 buku?
tahniah huruun.
penuh dengan analogi klasik.
bagus-bagus, boleh tak nak tahu sumber cerpen ni? kot-kot lah boleh jumpa lagi yang lain-lain
copy paste je dari laptop, x ingat mana dapat, huhu..
Post a Comment