Monday, April 26, 2010

Hospital UIAM

Profesor Datuk Dr Kamaruzzaman Wan Su, Pengarah Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.

Mampu tingkatkan R&D, keupayaan dan kemahiran doktor

MEMILIKI hospital pengajar menjadi keperluan terpenting untuk memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan bidang pengajian berkait rapat dengan kesihatan dan perubatan mencapai kecemerlangan. Selain memudahkan pelajarnya mengaplikasikan pengetahuan dimiliki mereka, dengan adanya kemudahan ini ia dapat membuka ruang dan mendedahkan pelajar itu lebih memahami bidang tugas sebenar mereka apabila berhadapan dengan orang awam yang memerlukan rawatan.


Ikuti temubual Wartawan Varsiti, Nik Sukry Ramli dengan Pengarah Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Profesor Datuk Dr Kamaruzzaman Wan Su bagi mengupas keperluan dan kepentingan hospital pengajar ini.

Soalan: Beberapa IPT yang memiliki Fakulti Perubatan dan Kesihatan ini memiliki ‘Teaching Hospital’ sendiri bagi memudahkan pelajarnya mendapat pendedahan mengenai suasana sebenar bidang tugas mereka. Jadi, adakah menjadi keperluan utama kepada setiap IPT mempunyai “Teaching Hospital’ mereka sendiri, atau cukup sekadar mempelajari asas teori?

Kewujudan entiti seperti ‘Teaching Hospital’ sememangnya penting bagi IPT yang menawarkan kursus perubatan. Apabila IPT itu ingin mendapatkan keyakinan masyarakat mengenai kualiti dimiliki pelajar mereka, semestinya pesakit atau mereka yang ingin mendapatkan khidmat itu ingin melihat produk sebenar yang sudah dihasilkan.

Mengambil beberapa contoh seperti Universiti Malaya (UM) yang memiliki Pusat Perubatan UM (PPUM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ada Pusat Perubatan UKM (PPUKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Hospital USM (HUSM); jelas sekali pandangan masyarakat terhadap produk atau graduan hasil IPT terbabit mendapat perhatian tersendiri. Apatah lagi, dengan rekod cemerlang dilakukan pelajar atau graduan serta kemampuan mereka menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang hebat.

Jadi, semestinya dengan wujud ‘Teaching Hospital’ itu dapat memberikan nilai tambah kepada graduan itu sendiri dalam faktor kebolehpasaran mereka kelak.

Adakah UIAM juga bakal mempunyai ‘Teaching Hospital’ sendiri dalam masa terdekat memandangkan Kampus Kuantan ini dikatakan lebih berteraskan bidang Perubatan dan Kesihatan, jauh berbeza dengan kursus ditawarkan di Kampus Gombak?

Sebenarnya, UIAM Kuantan sedang menuju ke arah itu (memiliki ‘Teaching Hospital’) dan dalam proses menawarkan tender melalui dana disediakan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK-10). Sementara menunggu ia siap, pelbagai pembangunan prasarana lain juga sedang giat dijalankan di Kampus Kuantan ini.

Dari segi kursus ditawarkan di sini, memang tidak mempunyai persamaan dengan apa yang ditawarkan di Kampus Gombak kerana kami tidak mahu mewujudkan pengulangan penawaran kursus atau bidang pengajian di kedua-dua kampus ini. Jadi, Kampus Gombak ada kekuatan mereka dan begitu juga dengan kami di Kampus Kuantan, mempunyai keistimewaan yang berlainan. Di sini, kami menawarkan enam bidang pengajian untuk dipilih pelajar iaitu Kuliyyah Kejururawatan; Kuliyyah Farmasi; Kuliyyah Sains; Kuliyyah Pergigian dan Kuliyyah Sains Kesihatan.

Apakah persiapan dilakukan UIAM Kampus Kuantan untuk memiliki dan seterusnya mentadbir sendiri ‘Teaching Hospital’ ini apabila siap kelak?

Kami boleh dikatakan sudah bersedia sejak sekian lama. Kampus Kuantan ini mula beroperasi pada 1997 di Jalan Hospital, sebelum berpindah ke Bandar Indera Mahkota pada 2004. Kami mempunyai 422 kakitangan akademik dan 405 kakitangan pentadbiran dan sokongan. Selain itu, kami juga mempunyai peralatan dan teknologi yang bersesuaian untuk menjadi salah sebuah IPT yang memiliki ‘Teaching Hospital’ terbaik.

Memang secara asasnya, kami agak lambat mendapat ‘Teaching Hospital’ untuk bersaing secara sihat dengan IPT lain. Namun, dari satu sudut lainnya pula, kami lebih bertuah kerana walaupun belum mempunyai ‘Teaching Hospital’, tetapi kami sudah memiliki peralatan yang memadai untuk melaksanakan pelbagai tugasan yang boleh dilakukan di hospital. Selain itu, kami juga memiliki Pusat Kesuburan yang sudah merawat 120 pasangan yang bermasalah untuk memperoleh zuriat. Semua ini kami berjaya lakukan tanpa memiliki ‘Teaching Hospital’ dan boleh saya bayangkan apa lagi yang kami mampu capai kelak, apabila sudah memiliki hospital sendiri.

Bagaimana pula dengan kemudahan disediakan UIAM, maksudnya peralatan digunakan dalam pembelajaran setiap bidang kursus ditawarkan. Bagaimana pula dengan penilaian yang dibuat oleh pihak seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)?

J Kami di UIAM Kampus Kuantan ini boleh dikatakan amat bertuah kerana dibekalkan dengan dana besar yang dipersetujui sendiri oleh Rektornya, Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid. Bangunan sementara yang menempatkan Kuliyyah Pergigian sebagai contoh, memiliki peralatan dan dilengkapi dengan teknologi tercanggih di dalam negara ini, dan mungkin di rantau ini juga.

Begitu juga dengan kemudahan perpustakaan dimiliki UIAM Kampus Kuantan ini, dibina dan diintegrasikan secara online dengan beberapa perpustakaan luar negara bagi memudahkan pelajar, mahupun tenaga pengajar membuat rujukan. Kami juga tidak mempunyai banyak masalah dalam mendapatkan pengiktirafan dan akreditasi. Kelengkapan dimiliki dan teknologi digunakan memang diakui panel penilai MQA sebagai bertaraf dunia dan menerima akreditasi penuh (lima tahun) berbanding dua tahun yang biasa diberikan kepada IPT lain.

Berapakah jumlah pelajar yang sedang mengikuti pengajian di sini dan peratusan pelajar luar negara yang memilih UIAM Kampus Kuantan untuk melanjutkan pengajian mereka?

Setakat ini, UIAM Kampus Kuantan memiliki 2,664 pelajar mengikuti pengajian di enam Kuliyyah. Kita meletakkan sasaran, menjelang 2015, kita mampu menawarkan sehingga 7,000 tempat kepada pelajar dari dalam dan luar negara. Di samping itu, menjadi polisi kami untuk menyediakan seberapa banyak kemudahan asrama kepada pelajar dengan keutamaan diberikan kepada pelajar perempuan.

Kita juga akan memperkenalkan beberapa lagi bidang pengajian untuk ditawarkan pada masa akan datang seperti Kuliyyah Pertanian sebagai contoh menjelang 2011. Fasa pertama bangunan Institut Kajian Marin, Oceanografi dan Maritim (Inocem) yang terletak di Cherok Paloh, Penor dijangka siap menjelang Ogos ini juga bakal mempelbagaikan lagi bidang pengajian ditawarkan di sini.

Bagi peratusan pelajar luar negara pula, daripada jumlah 2,664 pelajar yang direkodkan kini, terdapat 116 pelajar antarabangsa dan pecahannya pula ialah 73 adalah pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah, manakala selebihnya lepasan ijazah.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Wawancara_Hospitalpengajar/Article/index

No comments: