Thursday, December 24, 2009

Bipolar Disorder: Bantu Si ‘Zalim’ dan Mazlum

“Akak dah tak tahu nak buat macam mana ustaz. Memang rasanya kami ni dah di ambang penceraian”, keluh seorang isteri, yang bersuamikan sahabat saya.

“Apa lagi yang dibuatnya kebelakangan ini?”, saya mahu dapatkan lebih banyak maklumat.

“Entah kenapa siang malam pagi petang asyik bersyarah pasal agama sahaja. Rasa macam semua yang akak buat ni tak betul. Segala-gala diungkitnya. Dari cara akak berwudhu’ dan solat, sampailah kepada hal-hal yang akak sendiri tak faham. Pulak tu, bukan boleh ditegur, mesti dia melenting”, cerita akak itu semasa mengunjungi kami sekeluarga.

Saya terdiam. Sahabat yang saya kenali ini semacam sedang melalui suatu episod yang tersusun mengikut buku teks. Melengkapi segala simptom masalah Bipolar Disorder.

Saya cuba sabarkan isteri yang malang itu.

“Akak, izinkan saya memberi pandangan. Saya bukan doktor. Cuma menumpang sikit-sikit ilmu dari isteri dan pembacaan. Apa yang suami akak buat tu, saya dah jumpa beberapa kali sebelum ini. Saya rasa, suami akak sedang menempuh episod Bipolar Mania”, saya cuba berkongsi cerita.

“Kenapa Rizal cakap begitu?”, tanyanya kehairanan.

“Minggu lepas suami akak berbual dengan saya. Jiwanya sungguh tidak tenteram. Putus asa belaka dengan semua benda yang dirancangnya dalam hidup ini. Rasa berdosa, rasa bersalah, asyik menangis, malah katanya jin tak habis-habis datang memukul tangannya”, saya memberitahu.

“Akak tahu cerita itu. Tapi minggu ni dia jadi pelik pulak. Sungguh berlawanan. Over confident, pandai semacam. Tapi kadang-kadang cakap kotor sampai malu akak mendengarnya. Sampai akak dengan anak-anak dah tak tahan. Kadang-kadang naik juga tangan dia kepada kami”, sambungnya lagi.

Saya yakin, sahabat saya yang juga suami akak ini, mengalami masalah kemurungan yang teruk. Segala simptom ada padanya. Saya sudah berdepan dengan kes yang sama sebelum ini, dan mereka ini semuanya memiliki corak yang sama.

Syukur Alhamdulillah, mungkin kerana kelegaan jiwa si isteri, bahawa masalah rumahtangganya bukan kerana kesalahan dia atau kekurangannya, tetapi kerana suami sedang ’sakit’ dan memerlukan bantuan, hari ini rumah tangga mereka kembali tenang. Namun si isteri harus sentiasa berlapang dada dan bersedia, kerana ia boleh sahaja muncul kembali bila-bila masa. Jika ada stimulasi yang mencetuskannya!


PENGALAMAN SILAM

Lama sebelum itu, seorang pelajar datang ke rumah saya. Beliau mahu mencadangkan kepada saya plan latihan ketenteraan yang beliau rangka. Saya hanya mampu mengangguk. Selama 6 jam beliau bersyarah di hadapan saya. Dari isu plan ketenteraan tersebut, sampailah kepada perancangan Yahudi di sebalik animasi Pokemon dan kesukaannya terhadap Doraemon. Bercakap tidak berhenti-henti, penuh semangat, tetapi tiba-tiba menangis seketika sebelum menyambung kembali syarahannya kepada saya.

Secara jujurnya, tepat jam 4 pagi, saya sudah menjadi demam akibat ‘torture’ syarahan pelajar ini.

Semasa itu, saya hanya terfikir satu perkara. Mungkin pelajar ini dirasuk jin!

Tetapi apabila plan ketenteraannya saya berikan kepada isteri, beliau dengan segera memberikan komen, “abang, rasanya budak ni ada masalah bipolar disorder. Lengkap belaka”

Saya terdiam.

Malang sekali, pelajar tersebut gagal diselamatkan. Beliau ditahan polis kerana berkelakuan agresif di khalayak ramai. Namun saya bersyukur kerana kini kehidupannya teratur kembali. Semoga beliau terus tenang dan berusaha mematuhi nasihat-nasihat yang telah diberikan oleh pakar psikiatri kepadanya.


PERINGKAT HIPERMANIA

Hasil pembacaan buku dengan panduan isteri, serta bacaan di internet, saya dapat memahami serba sedikit tentang masalah Bipolar Disorder ini. Semasa seseorang itu berada di tahap mania, dia itu sering menunjukkan simptom-simptom berikut:

1. Bertenaga secara berlebihan, aktif dan menolak rehat
2. Mempunyai perasaan yang begitu tinggi bahawa dirinya itu ‘bagus’
3. Komunikasinya sungguh merimaskan dan mengganggu
4. Berfikir dengan laju dan ekstrim, bercakap dengan begitu pantas dan melompat dari satu idea ke satu idea. Ideanya boleh difahami tetapi tidak berkait di antara satu sama lain
5. Mudah terganggu dan sukar menumpukan perhatian
6. Tidak tidur kecuali sedikit atau tiada langsung
7. Mempunyai kepercayaan berlebihan secara tidak realistik terhadap kuasa dan keupayaan seseorang
8. Lemah dalam membuat keputusan
9. Berbelanja secara yang sangat boros
10. Kelakuan melampau yang berpanjangan lebih dari kadar yang biasa
11. Keinginan seks yang meningkat
12. Boleh terjebak ke dalam penggunaan dadah terutamanya kokain, juga minuman beralkohol serta pil tidur
13. Provokatif, intrusif dan sikap yang amat agresif
14. Sangat menafikan yang dirinya itu di pihak yang salah

Sudah beberapa orang yang jangkakan dirinya mengalami Bipolar Disorder ini menunjukkan hampir kesemua simptom itu. Tentu sahaja jika orang yang mengalami masalah ini merupakan suami, atau majikan kita, mereka akan sungguh menyeksa kehidupan kita.


MENCETUS KEHANCURAN SOSIAL

Inilah yang membimbangkan saya. Tanpa pengetahuan tentang masalah psikiatri ini, saya tidak tahu berapa banyak rumah tangga yang hancur, berapa banyak pekerja yang diberhentikan majikan, dan berapa banyak syarikat yang musnah, apabila suami di dalam rumah tangga, atau majikan di dalam sebuah syarikat, mempamerkan sikap yang sangat agresif.

Dirinya sahaja yang betul, tidak habis-habis berleter dan mengungkit seribu satu perkara, malah bercakap lucah atau melakukan perbuatan lucah hingga ke tahap hospital di Ireland akan membekalkan pil pencegah kehamilan kepada pesakit Bipolar Disorder ini kerana beliau dengan mudah sahaja boleh melakukan seks dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya.

Siapa yang tahan dengan manusia sebegini?

Sanggupkah isteri berdepan dengan perubahan mendadak seorang suami?

Tidakkah menderita seorang pekerja apabila majikannya mempraktikkan kesemua simptom di atas?

Andai segalanya difikirkan sebagai perubahan sikap, ia tentu menimbulkan 1001 kesulitan. Tetapi jika kesemua simptom itu ada, berkemungkinan suami anda, atau majikan anda mengalami gangguan emosi yang teruk, dan mereka wajar mendapatkan rawatan.


PERINGKAT DEPRESI (KEMURUNGAN)

Oleh kerana namanya Bipolar Disorder, pesakit juga akan terjun dari keaktifan yang amat tinggi itu kepada kemurungan yang menjatuhkan segala-galanya. Maka apabila beliau berada di situasi depresi, pesakit tersebut akan menunjukkan simptom-simptom berikut:

1. Kesedihan yang berpanjangan, gelisah dan perasaan yang kosong
2. Rasa putus harapan dan pesimis terhadap segala-galanya
3. Merasa bersalah, tidak berguna, dan tidak mungkin dapat dibantu
4. Hilang minat kepada aktiviti-aktiviti yang disukainya sebelum ini, termasuk terhadap seks
5. Kehilangan tenaga, lesu yang teruk dan beransur lemah
6. Sukar memberi tumpuan, sukar mengingati sesuatu dan sulit membuat keputusan
7. Tidak mahu berehat atau sentiasa rasa terganggu apabila cuba berehat
8. Tidur yang terlalu banyak, atau langsung tidak boleh tidur
9. Hilang selera makan, kehilangan berat badan
10. Sakit yang berpanjangan (kronik) terhadap tubuh badan yang bukan disebabkan oleh sakit fizikal atau kecederaan
11. Banyak berfikir tentang kematian, malah terfikir untuk membunuh diri, dan cuba melakukannya


KEPERLUAN PENDAKWAH DAN KAUNSELOR

Saya merasakan, bagi seorang pendakwah apatah lagi mereka yang sering didatangi oleh mereka yang cuba mendapatkan nasihat tentang krisis rumah tangga dan kerja, amat perlu untuk menambah pengetahuan tentang hal ini. Dengan itu kita akan terhindar daripada memberikan nasihat-nasihat yang memburukkan lagi keadaan.

Bayangkan jika seorang pekerja mengadu kepada anda tentang kelakuan majikannya yang sungguh menyakitkan, tanpa ada peduli kepada persoalan gangguan emosi dan masalah psikiatri ini, dengan mudah anda akan memberikan nasihat supaya pekerja itu mengambil tindakan undang-undang, berhenti kerja atau terus melawan atas alasan mempertahankan hak dan maruah diri.

Segala perbuatan pekerja itu yang membalas kelakuan agresif majikannya itu akan hanya menyebabkan masalah Bipolar Disorder beliau menjadi semakin teruk. Dan kita patut menjangkakan kesudahan yang terburuk, jika segala-galanya dibiarkan.

Begitu juga dengan isteri atau suami yang berdepan dengan hal ini. Sedikit sebanyak pengetahuan seperti ini akan membolehkan kita bertenang, tidak ‘ambil hati’ dan boleh menghulurkan bantuan malah terus bersangka baik, biar pun dengan cara yang sungguh pelik!

“Bantulah saudaramu, sama ada dia itu zalim, atau dizalimi” (Al-Hadith)

Si zalim itu mungkin pesakit Bipolar Disorder.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments: