Sunday, October 9, 2011

Salihin dalam Mingguan Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Walaupun dibayangi perasaan tidak sempurna seperti orang lain, namun ia telah membuatkan graduan orang kurang upaya (OKU), Ahmad Salihin Abdullah, 25, sentiasa mempunyai motivasi tinggi sejak kecil.

Maka tidak hairanlah, beliau yang cacat di kedua-dua belah kakinya telah diumumkan sebagai penerima anugerah Pencapaian Khas Abdullah Ibnu Umm Maktum pada majlis Konvokesyen UIAM Ke-27 di Gombak, hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Farmasi yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu telah mendapat purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.44 dalam pengajiannya.

"Disebabkan saya rasa lain daripada orang lain, jadi saya perlu buat lebih. Malah dalam keadaan sebegini kita tidak tahu masa depan kita.

"Sebab itulah saya belajar bersungguh-sungguh. Sokongan keluarga dan rakan-rakan yang membuatkan saya tidak merasai apa-apa halangan ketika belajar," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut hari ini.
Menurut anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu, rahsia kejayaannya ialah memberi tumpuan penuh ketika di dalam kelas.

"Jika beri tumpuan dalam kelas, apabila mengulangkaji, pelajaran itu mudah diingati," ujarnya yang kini berkhidmat sebagai pegawai farmasi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Sementara itu, graduan jurusan perubatan, Siti Fatimah Abu Hussain, 25, pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja dan Hadiah Pelajar Terbaik Keseluruhan.

"Mula-mulanya saya hanya berharap menjadi pelajar terbaik keseluruhan sahaja, tapi tidak sangka pula turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.

"Maka kedua-dua anugerah ini adalah hadiah istimewa kepada Allahyarham bapa saya yang meninggal dunia dua tahun lalu," katanya yang bercita-cita untuk membantu dalam misi kemanusiaan apabila menjadi doktor kelak.

Bagi penerima anugerah pelajar terbaik jurusan undang-undang, Najwa Rosli, 23, berkata, disiplin diri dan pembahagian masa adalah faktor utama yang membawa kepada kejayaannya.

"Apa saja perkara yang kita lakukan, ia perlu seimbang terutamanya antara bidang akademik dan kokurikulum," ujarnya yang berasal dari Johor.

Pemenang Hadiah Presiden, Meor Alif Meor Azalan, 23, pula berkata, setiap pelajar yang ingin berjaya, mereka perlu mempunyai kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri.

"Jika tidak ada perasaan sebegitu mungkin susah untuk mencapai kejayaan yang diharapkan," katanya yang kini menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di London School of Economic and Political Sciences, London.

Sumber: Utusan

3 comments:

RX6 said...

tahniah salihin! :D

matmin said...

perghhh salihin.bangga ak ade client hebat mcm lehin.taniah bro...haha

'Atiqah said...

tahniah salihin =)